Irsyad Faiz Aziz memainkan peranan penting menjulang pendatang baru, Bomba Fighters, selaku juara Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) 2020 selepas membenam Putrajaya Cyborg 2-0 dalam pertemuan final di Stadium Titingwangsa, sebenar tadi.

Kedua-dua regu mengekalkan percaturan sama seperti semalam yang menyaksikan Putrajaya terus mempertaruhkan Syahril Rosdi sebagai tekong; Faizul Hairy Osman (apit kanan) sambil bersandarkan pelibas berpengalaman, Fadzil Baharudin.

Sementara itu, Bomba mengekalkan trio sama yang dibarisi Irsyad, Razman Raof (apit kanan) dan Afiq Ramli (perejam).

Tekong dari Terengganu itu memainkan peranannya sejak awal pertemuan sambil Afiq bijak mencari ruang bagi menoktahkan kemenangan set pertama 21-13.

Putrajaya terlebih dahulu mendominasi separuh aksi set kedua, lebih-lebih lagi melalui libasan Muslim Muhammad -- yang dimasukkan di penghujung set pertama sementara lawan pula memperlahankan tempo permainan.

Tetapi Bomba mempamerkan keinginan tinggi bagi mengelak permainan diheret ke set penentuan.

Ia menjadi titik tolak kepada momentum mereka dalam usaha menyekat pendahuluan 12-14 lawan.

Dua giliran servis daripada Irsyad selepas itu ternyata cukup berbisa dan sudah cukup -- servis ace ke-14 -- untuk menutup sebarang kebangkitan lawan dengan kejayaan 21-15 dalam tempoh hanya 25 minit.

Sementara itu, UPM-MASUM Knights gah di tempat ketiga selepas menumbangkan Melaka Titans 2-1.