STL: Syahir, Azlan kembali bergandingan di KL Thunder

Oleh Penulis Jemputan 24 Julai 2020 4250
STL: Syahir, Azlan kembali bergandingan di KL Thunder
Penghijrahan Syahir Rosdi dan Azlan Alias daripada Penang Black Panthers kepada KL Thunder bagi saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini mencetuskan sensasi.

Black Panthers boleh dianggap pasukan gergasi dalam saingan STL setelah muncul naik juara Piala Juara-Juara STL musim lalu sedangkan KL Thunder hanya menamatkan saingan liga musim lalu di tangga ketujuh dan gagal ke saingan akhir itu.

Syahir, tekong yang sebelum ini digantung selama sembilan bulan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), menjelaskan kesukarannya untuk meninggalkan pasukan dari utara tanah air itu.

"Sukar untuk meninggalkan Black Panthers kerana ia dekat dengan kampung saya dan Penang juga merupakan sebuah pasukan gergasi yang seangkatan dengan Terengganu (Turtles).

"Ketika berjauhan dengan sepak takraw, saya fokus kepada kerja di Majlis Amanah Rakyat dan sedikit kekok kerana sebelum ini, karier saya hanya sebagai atlet. 

"Bagaimanapun, saya tetap menjalani latihan sepak takraw seperti biasa.

"Ketika itu, saya agak kesian dengan situasi Azlan, yang menjadi sandaran utama kerana dalam sepak takraw, ketiga-tiga pemain perlu cekap dan mengendalikan pasukan bersama-sama.

"Saya harap musim 2020 ini akan menjadi permulaan baru untuk kami, selain berpeluang untuk bergandingan dan mencipta impak memburu kejuaraan STL ," katanya.



Apit kanan, Azlan, turut bersetuju dengan Syahir sambil berkata: "Ketiadaan Syahir sedikit memberi kesan kerana saya terpaksa menjadi tunjang utama ekoran ketiadaan pemain senior dan perlu memberi ruang buat pemain muda untuk menimba pengalaman.

"Saya gembira dapat kembali berkongsi pentas bersama Syahir dan menganggap ini peluang terbaik untuk menyerlah dan bantu KL Thunder mencipta impak musim ini."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen