Tonggak yang juga apit kanan Johor Tigris, Noraizat Nordin, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas terpaksa berehat panjang kerana kemalangan.

Perejam itu dijangka akan berehat panjang selepas menerima sembilan jahitan di tapak tangan gara-gara mengalami kemalangan motosikal, sekali gus perlu mencari semula rentak dan momentum sebaik kembali beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

"Dalam jam 6.30 petang, saya ke sesi latihan Johor Tigris dan latihan tamat dalam jam 9 atau 10 malam.

"Kebetulan di selekoh, saya memang sudah nampak sebuah kereta memberikan lampu isyarat. Saya sudah memperlahankan motosikal tetapi kereta itu tidak berhenti dan saya tidak dapat buat apa-apa.

"Kecederaannya adalah luka dan bengkak di bahagian lutut dan tangan saya pula terpaksa dijahit.

"Nak buat macam mana, takdir itu tuhan yang tentukan dan saya terpaksa berehat," katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu perlu berehat sekurang-kurangnya selama dua hingga tiga minggu.

Bagaimanapun, pemain yang turut dikenali dengan panggilan Bangau itu percaya pemain yang akan mengisi kekosongannya, iaitu Ashraf Azizan, mampu membantu Tigris mencari mata penuh dalam setiap perlawanan.