STL: Knights berdepan cabaran getir

Oleh Muzaffar Musa 31 Ogos 2020 1644
STL: Knights berdepan cabaran getir
Cabaran getir menanti MASUM-UPM Knights apabila diundi bersama Terengganu Turtles, Perlis Vipers dan Melaka Titans dalam saingan Kumpulan A Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) bermula 8 September ini.

Ketua jurulatihnya, Ahmad Sufi Mohamed Hashim, berharap perubahan format pertandingan dalam edisi kali ini dapat membawa tuah kepada pasukannya selepas gagal  menyerlah musim lalu.

"Apa yang saya nampak dengan format baru musim ini, kami memang perlu fokus dari awal berbanding musim lalu," katanya kepada Nadi Arena.

"Musim lalu bermula dengan pusingan round robin tetapi musim ini, kami akan bermula dengan menghadapi pasukan yang kuat.

"Pemain perlu menanam keazaman dalam diri untuk memperkuatkan jati diri mereka," katanya.

Selain mempertaruhkan Zuhri Muhammad Zain (tekong), yang akan membuat penampilan pertama dalam saingan musim ini, Knights juga akan diperkuatkan dengan kehadiran apit kanan berpengalaman, Wan Muhammad Anas Muhaimin Wan Mohd Asri.

"Alhamdulillah, saya dapat melihat prestasi Zuhri dalam Sukan Universiti MASUM di Perlis tahun lalu dan ia agak memuaskan," kata Wan Muhammad Anas.

"Dia telah menewaskan pasukan UPM A dalam separuh akhir.

"Jadi, kami berharap Zuhri dapat memberikan prestasi terbaiknya dalam STL tahun ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen