Percaturan ATM Guardians merehatkan tekong utama, Hairul Hazizi Haidzir, memakan diri apabila menjadi mangsa Kelantan Warriors dalam aksi Perdana Liga Sepak Takraw (STL), hari ini.

Kelantan menampilkan Yus Hanif Rosli, Naim Izani Noor dan Aidil Azman Azwawi untuk memimpin awal set pertama 11-6 di Stadium Titiwangsa.

Namun, ATM bangkit memberi tekanan terutama selepas kemasukan tekong kebangsaan itu di pertengahan aksi.

Terikat 22-22, Kelantan bijak memanfaatkan peluang untuk menamatkan set pertama 24-22.

Persaingan set kedua bertambah rancak dengan kemasukan perejam ATM, Afifudin Razali, yang acap menyumbang mata kebangkitan buat juara 2015 itu mendominasi set kedua 21-18.

​Begitupun, ketekalan yang diharapkan daripada regu ATM itu gagal diterjemahkan dalam set penentuan dengan kelibat perejam Kelantan, Naim Izani Noor, lebih mencuri tumpuan untuk menyumbang kemenangan 21-17.





Keputusan lain:

Penang Black Panthers kk Negeri Sembilan Antlers 21- 23, 11-21

Selangor Pistons mng Johor Tigris 20-14, 22-21