STL: Barisan muda Black Panthers terkam Perak Bison

Oleh Shaiful Shamsudin 28 September 2020 2346
 STL: Barisan muda Black Panthers terkam Perak Bison
Selepas mengorak kemenangan pertama semalam, Penang Black Panthers, membuatkan kedudukan Perak Bison dalam Liga Sepak Takraw (STL) bertambah tenat hari ini. 

Hajat Perak Bison untuk memadam luka dua perlawanan lalu bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas 1-2 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemasukan Syukri Apit untuk mengisi apit kanan Black Panthers banyak memberi masalah buat lawan. 

Selepas direhatkan semalam, dia menonjolkan libasan-libasan menarik yang gagal dikekang Perak Bison untuk kemenangan set pertama 21-15. 

Perak yang diterajui tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, memberikan tentangan sengit sambil dibantu aksi kurang menjadi Syukri untuk mengheret permainan ke set penentuan menerusi 21-15.

Black Panthers akhirnya menjelmakan taring sebenar dalam set ketiga apabila tidak melepaskan peluang yang terhidang untuk unggul 21-15.

Sementara itu, dalam perlawanan pertama hari ini, Selangor Pistons tewas mudah dalam aksi keempat ketika menentang Kelantan Warriors dalam tempoh hanya 50 minit. 

Selangor tampil garang pada awal permainan sebelum ketinggalan 5-6, seterusnya membenarkan kemenangan 21-9 buat wakil Pantai Timur itu. 

Mereka cuba meningkatkan prestasi tetapi dengan perejam, Wan Naim Izani Wan Noor, berada di kemuncak prestasi hari ini, dia memastikan Kelantan memenangi perlawanan keempat dengan 21-17. 

Sementara itu, rekod tanpa kalah Johor Tigris akhirnya lebur di tangan ATM Guardians dalam aksi menghiburkan yang berkesudahan 16-21, 20-22. 

PDRM Defenders pula memperoleh kemenangan pertama musim ini dengan menjinakkan Pahang Mammoth dengan straight set 21-17, 21-19. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen