Pelibas kebangsaan, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, mahu menghapuskan badi dua musim berturut-turut dengan mengemudi ATM Guardians muncul juara baru Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Katanya, derita musim lepas tetap berbekas apabila Guardians kecewa merangkul kejuaraan liga apabila dipintas Perak Bison hasil kelebihan set menang biarpun kedua-dua pasukan itu berkongsi mata yang sama.

"Biarpun saya bersama tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, dan apit kiri, Norfaizzul Abdul Razak, sudah berikan segalanya, namun rezeki lebih berpihak kepada Bison.

"Insya-Allah, kami sudah banyak belajar daripada kesilapan terdahulu dan mahu tebus kembali derita dua musim itu," katanya.

Afifuddin, yang membantu skuad negara memenangi pingat perak dalam acara berpasukan Sukan SEA Filipina tahun lalu, mengakui hanya menjalani latihan secara individu di rumah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Setakat ini, latihan secara individu untuk kekalkan kecergasan dan kemahiran.

"Rakam semua latihan itu dan hantar kepada ketua jurulatih, Aswadi Abdullah, untuk perbincangan.

"Insya-Allah, mungkin selepas PKPB ini berakhir 9 Jun depan, kami akan bersedia untuk latihan rasmi Guardians," ujarnya.

Kredit Foto: STL