Berita kehadiran semula bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dalam saingan musim baharu Liga Sepak Takraw (STL) jelas menggembirakan pelibas ATM Guardians, Muhammad Afifuddin Mohd Razali.

Katanya, aura yang dimiliki bekas tekong Penang Black Panthers masih ada dan sudah pasti penonton mahu menyaksikan pelbagai variasi servis yang dimilikinya.

"Sebagai kawan, saya mengalu-alukan kehadiran semula Syahir ke dalam saingan STL.

"Khabarnya, dia akan bergandingan semula dengan pelibas nombor satu negara, Azlan Alias dan pasti Kuala Lumpur Thunder menjadi pasukan pilihan musim ini.

"Semua pasukan termasuk Guardians perlu memiliki pertahanan yang baik jika mahu mengambil servis kencang yang menjadi senjata pemusnahnya selama ini," ujarnya.

Afifuddin yang membantu skuad negara memenangi pingat perak dalam acara berpasukan di Sukan SEA Filipina tahun lepas, mengakui hanya menjalani latihan secara individu di rumah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Setakat ini, latihan secara individu untuk kekalkan kecergasan dan kemahiran.

"Rakam semua latihan itu dan hantar kepada ketua jurulatih, Aswadi Abdullah untuk perbincangan," tambahnya.

Kredit Foto: STL