STL 2020: Hisham kekal bersama Antlers

Oleh Farizal Yusoff 13 Jun 2020 1800
STL 2020: Hisham kekal bersama Antlers
Tekong kidal, Hisham Mat, mengesahkan akan terus menyarung jersi Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

"Alhamdulillah, rezeki masih bersama dengan skuad Jang dan saya berazam untuk berikan prestasi terbaik bagi membantu Antlers capai sasaran dalam kempen kali ini.

"Biarpun masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan tentang status penganjuran musim ini, namun saya yakin berdasarkan perkembangan semasa isu Covid-19, STL mampu dilangsungkan mengikut jadual," katanya.


 


Tekong berpengalaman kelahiran Kota Bharu berusia 29 tahun itu mengakui memberi lebih tumpuan menghasilkan pelbagai servis berkualiti untuk menghadapi saingan yang lebih sengit dalam edisi kali ini.

"Dalam permainan sepak takraw, servis permulaan daripada tekong cukup penting. Servis yang baik mampu membawa mata mudah kepada pasukan.

"Saya mahu terus pelbagaikan servis yang boleh mengelirukan lawan dan Insya-Allah, tunggu isyarat daripada persatuan untuk adakan latihan intensif,"ujarnya.

Untuk rekod, bekas tekong Kelantan Warriors itu membantu Antlers menduduki tangga keenam liga dan layak beraksi dalam Liga Juara-Juara STL, Disember lalu.

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen