Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan atau pemain yang gagal kemukakan laporan pengesahan ujian Covid-19. Tarikh akhir yang diberikan ialah 1 September ini dan pasukan yang gagal berbuat demikian berdepan hukuman berat daripada badan induk itu.

Ia sebagai peringatan kepada semua pasukan yang terlibat untuk pandang serius tentang prosedur yang telah pun ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiap pasukan kini mempunyai tempoh lebih kurang 10 hari untuk melengkap dan menyerahkan segala dokumen pengesahan ujian Covid-19 ke PSM sebelum saingan bermula pada 18 September.

Jika gagal berbuat demikian, pasukan dan pemain tidak akan dibenarkan beraksi.

"Majlis tertinggi yang bersetuju menetapkan tarikh tutup menghantar laporan ujian calitan pada 1 September. Jika ada pasukan yang gagal melakukannya, saya tidak akan teragak-agak untuk menyekat penyertaan pemain atau pasukan kerana kami mahu mengelak daripada wujudnya kluster STL," kata Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Sebelum ini, PSM sudah pun membuat tindakan drastik dengan menangguhkan Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Remaja yang sepatutnya berlangsung pada 22 Ogos ini di Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat ekoran beberapa persatuan negeri masih belum melaksanakan ujian saringan yang ditetapkan.

"Saya mendapati banyak pasukan yang tidak melakukan ujian Covid-19. Kami telah berbincang dengan pihak penganjur dan terpaksa menunda saingan. Kami enggan berkompromi dengan situasi ini dan perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Empat pasukan dijangka mendominasi saingan liga perdana musim ini, menurut apit kanan baru KL Thunder, Azlan Alias.

Di samping itu, ketiadaan pemain import kali ini sepatutnya menjadi perangsang buat pemain tempatan memberi prestasi terbaik mereka.

"Peluang untuk pemain-pemain tempatan dapat beraksi. Ia dapat membuktikan prestasi sebenar pemain tempatan," kata Azlan.

"Pada pandangan saya, semua pasukan memiliki peluang untuk bergelar juara dalam saingan kali ini, antaranya ATM, Johor, Perak dan Kelantan, mereka berpotensi untuk mencipta kejutan.

Apabila ditanyakan mengenai peluang KL Thunder untuk bergelar juara, Azlan hanya tersenyum dan membalas, "Insha-Allah."