PSM ada cadangan selamatkan saingan STL 2020

Oleh Muzaffar Musa 15 November 2020 765
PSM ada cadangan selamatkan saingan STL 2020
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan beberapa cadangan untuk Liga Sepak Takraw (STL) musim ini dapat diteruskan di sebalik pandemik COVID-19.

STL musim 2020 ditangguhkan sejak 9 Oktober lalu berikutan peningkatan kes COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB) di sebahagian besar Semenanjung Malaysia.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, dalam satu temu bual bersama Astro Arena hari ini, mengemukakan cadangan, termasuk meneruskan saingan itu di kawasan hijau Semenanjung Malaysia, iaitu Perlis, Kelantan dan Pahang.

"Setakat ini nampak macam ada tiga negeri (zon hijau) iaitu Kelantan, Pahang dan Perlis.

"Kita akan lihat juga, kebiasaannya, (Menteri Kanan Keselamatan) Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob, akan mengumumkan (lanjutan PKPB) sama ada dua atau sehari sebelum itu.

"Jadi, kalau disambung pada ketika itu, andai kata Kuala Lumpur masih di bawah PKPB, kami akan melihat kepada negeri yang tidak ada PKPB dan (saingan STL) akan dipindahkan ke sana.

"Saya sudah ada dua jadual perlawanan baru, sama ada tiga hari perlawanan dan sehari cuti atau empat hari perlawanan dan sehari cuti.

"Maka dengan itu juga, PSM dan juga Astro telah bersetuju untuk mungkin membenarkan setiap pasukan menambah dua lagi pemain," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen