Jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini, mengingatkan barisan anak buahnya agar waspada ancaman pendatang baru, Putrajaya Cyborg, menjelang pertemuan esok bagi aksi Kumpulan B saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL).

Manakala perejam Bomba Fighters, Afiq Ramli, menganggap pasukannya sebuah pasukan 'underdog', turun tanpa sebarang tekanan menentang penyandang, Johor Tigris.

Atas kertas, Kl Thunder yang turun sebagai juara liga dilihat ampuh dalam pelbagai posisi, sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk melakar kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan menentang Putrajaya Cyborg.

Namun Azhar tidak mahu pemainnya leka, kerana perlawanan pembukaan 13 Januari lalu, menyaksikan mereka tunduk kepada penyandang juara, Johor Tigris.

Jika keputusan tidak berpihak kepada mereka, pintu untuk ke separuh akhir bakal tertutup.

"Untuk perlawanan esok bertemu Putrajaya, ia adalah pertemuan penting bagi KL mendapatkan kemenangan. Mereka beraksi tanpa tekanan berbanding KL bagi memastikan tempat ke separuh akhir," kata Azhar.

Satu lagi pasukan, Bomba Fighters pula makin bersemangat untuk buru kemenangan kedua, biarpun bakal buat perhitungan dengan tuan rumah, Johor Tigris.

Bakal turun dengan regu terbaik, bomba tidak gentar biarpun lawan sudah pun kembali mendapatkan dua tonggak perejam mereka, Haziq Norali dan Noraizat Nordin.

"Kami telah membuat latihan fizikal dan mental sementara memperkuatkan permainan bertahan. Kemampuan lawan ketika menyerang agak baik namun kami telah bersedia berdepan mereka," kata Afiq.