Piala Juara-Juara STL: Tigris dinobat juara baru

Oleh Staff Writer 28 Disember 2019 6171
Piala Juara-Juara STL: Tigris dinobat juara baru
Johor Tigris menafikan impian Penang Black Panthers meraih kejuaraan hatrik Piala Juara-Juara STL apabila mengungguli perhitungan final di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru sebentar tadi.

Selepas menundukkan juara liga, Perak Bison, dalam separuh akhir semalam, Tigris menamatkan dominasi Black Panthers dengan memanfaatkan aksi di depan penyokong sendiri.

Segala-galanya tampak sempurna buat barisan kendalian Ahmad Jais Baharom itu apabila persefahaman di antara Farid Aziz (tekong), Muqlis Borhan (pengumpan) dan Noraizat Nordin (pelibas), melengkapkan aksi memukau di selatan tanah air itu dengan kemenangan 21-10 dalam set pertama.

Dalam set kedua, Black Panthers terus dihukum gara-gara melakukan beberapa kesilapan mudah khususnya menerusi kawalan bola pertama tekong, Zarif Marican Ibrahim Marican.

Farhan Adam (pengumpan) dan Azlan Alias (pelibas) turut bergelut menahan asakan berterusan lawan untuk akur terlepas kejuaraan dengan kekalahan 13-21.

Selaku juara, Tigris membawa pulang wang kemenangan RM25,000 manakala Black Panthers perlu berpuas hati dengan RM15,000

Senarai pemenang:
Juara: Johor Tigris
Naib juara: Penang Black Panthers
Tempat ketiga: Perak Bison
Pemain paling bernilai: Noraizat Nordin (Johor Tigris) 
Tekong terbaik: Lim Tae Gyun (Korea Haechi)
Pengumpan terbaik: Farhan Adam (Penang Black Panthers)
Pelibas terbaik: Noraizat Nordin (Johor Tigris) 


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen