Piala Juara-Juara STL: Perak Bison layak ke separuh akhir 

Oleh Azizan Hashim 26 Disember 2019 2914
Piala Juara-Juara STL: Perak Bison layak ke separuh akhir 
Perak Bison mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Juara-juara STL 2019 apabila mengatasi Negeri Sembilan Antlers 2-1 di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini. 

Anak buah Ismi Hissan Ismail itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengecewakan lawan yang sudah berkira-kira mampu memenangi pertarungan sengit itu. 

Kejayaan itu adalah kemenangan keempat buat juara liga Perdana STL itu  untuk muncul juara Kumpulan A dengan lapan mata. 

Begitupun, ia bukan kemenangan mudah buat Perak Bison apabila terpaksa mengerah segala kudrat untuk mencapai kemenangan dalam pertarungan tiga set selama 65 minit itu. 

Sekali lagi percaturan dan strategi berkesan membantu kejayaan Bison yang bangkit daripada kekalahan set pertama. 

Trio Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, Azwan Muhrim dan Fadil Mustapa yang memulakan perlawanan dalam set pertama, jelas bukan tandingan lawan apabila tumpas set pertama 10-21. 

Tindakan membawa masuk Nattawhut Naewprom pada hujung set pertama dan kemudian Amirul Ramadhan Fadzillah Suhaimi dalam set kedua, nyata mengubah nasib Bison.

Dengan serangan dan pertahanan mantap serta keberkesanan servis Nattawhut dan rejaman Amirul yang berkesan, Bison menang set kedua 21-18.

Skrip sama berterusan dalam set penentuan yang menyaksikan trio Perak Bison itu meluncur mudah ke hadapan dengan kemenangan mudah dalam set penentuan 21-12. 

"Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan kejayaan ini. 

"Percaturan kami menjadi untuk kami merakamkan kemenangan ini. 

"Pujian kepada setiap pemain yang telah bertungkus-lumus mengusahakan kejayaan ini," kata Ismi.

Keputusan lain: 

ATM GUARDIANS mn PENANG BLACK PANTHERS 19-21, 21-10, 21-16 
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen