Perak Bison belum boleh mendabik dada biarpun menduduki tangga teratas Kumpulan A, Piala Juara-juara Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru ketika ini.

Tiga kemenangan ke atas Singapore Lions, Kelantan Warriors dan diikuti Korea Haechi, meletakkan juara Liga Perdana itu di atas landasan betul untuk ke separuh akhir.

Begitupun, Bison akan berdepan ujian sebenar kerana akan bertemu Negeri Sembilan Antlers petang ini.

"Kami belum selamat lagi kerana jika tumpas perlawanan terakhir ini mungkin berputih mata kerana dipintas Negeri Sembilan Antlers dan mungkin juga Korea Haechi," kata ketua jurulatih Bison, Ismi Hissan Ismail

Justeru Ismi berharap pemainnya mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika menentang Haechi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan dalam baki dua set.

"Semangat juang kental seperti ketika menentang Korea dituntut ketika menentang Antlers hari ini.

"Tiada ruang untuk pemain Bison berpuas hati dengan pencapaian setakat ini.

"Kami belum menang apa-apa lagi. Oleh itu, kami kena terus berusaha dan bekerja keras.

"Jika menang petang ini, maka kami layak ke ke separuh akhir selaku juara kumpulan untuk bertemu naib juara Kumpulan B," ujarnya.