Perak Bison tidak perlu terlalu kecewa berikutan gagal ke final Piala Juara-Juara STL apabila tumpas kepada tuan rumah, Johor Tigris, 2-0 di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru malam ini.

Ia kerana barisan pemain mereka sudah memberikan persembahan terbaik dan mencuba bersungguh-sungguh.

"Mereka sudah mencuba tetapi nasib tidak menyebelahi Perak," kata pengurus Bison, Shamsul Istar Ibrahim Istar.

"Berdasarkan mata, memang kedudukan rapat dan sengit.

"Faktor sokongan padu penyokong juga memainkan peranan kerana dapat menyemarakkan semangat pemain Tigris.

"Tigris layak menang kerana mereka bermain lebih baik daripada kami dan kurang melakukan kesilapan," katanya.

Shamsul Istar tetap memuji pemain Bison dan menganggap kemaraan ke separuh akhir kejohanan itu tetap satu kejayaan.

"Muncul juara liga dan layak ke separuh akhir Piala Juara-Juara tetap pencapaian gemilang buat Perak.

"Semoga kami mampu mengulangi pencapaian ini tahun depan," katanya lagi.

Shamsul Istar juga berasakan pemainnya masih berpeluang untuk menebus kekecewaan malam ini dengan memburu tempat ketiga berdepan Korea Haechi petang esok.