ATM Guardians menamatkan saingan Piala Juara-Juara STL di tempat ketiga selepas merakamkan kemenangan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat ke atas Johor Tigris, sebentar tadi di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bharu.

Ia merupakan pertemuan pasukan yang gagal mara ke final, selepas masing-masing tewas kepada KL Thunder dan Penang Black Panthers.

Guardians menampil trio utama, Hairul Hazizi (tekong), Norfaizzul Razak (pengumpan) dan Baihakki A'ripin mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menang set pertama 21-14.

Tigris yang tanpa tekong utama, Faisal Fuad menampilkan, Najmi Syafiq Anuar, Muqlis Borhan (pengumpan) dan Nur Haziq Norali (perejam) terpaksa menerima kekalahan straight set apabila mata demi mata diperoleh lawan sebelum menang 21-10.



NS Antlers mengesahkan kedudukan mereka di tempat kelima menewaskan Kelantan Warriors dalam perlawanan yang berlanjutan hingga tiga set.

Antlers menguasai set pertama 11-8 di awal perlawanan dan kemudian menutup set pertama 21-18.

Kelantan bangkit dalam set kedua meninggalkan Antlers tujuh mata di hadapan dan kemudian menggandakan tekanan untuk 11-8 di pertengahan permainan sekaligus memenangi set kedua dengan 21-8.

Trio Antlers memperkemas permainan mereka dalam set ketiga, dan berjaya menjarakkan mata ketika berada di kedudukan 4-5.

Libasan Hafizul Hayazi menoktahkan kemenangan 21-15 walaupun menerima tentangan sengit Warriors.