Juara bertahan Liga Sepak Takraw (STL), Perak Bison mungkin sudah menjumpai jawapan kepada aksi merundum skuad itu apabila berjaya mendapatkan semula pakar dari Thailand, Sukree Permsub untuk kembali menjadi pencabar takhta liga.

Permsub bukanlah asing apabila menjadi tulang belakang skuad Seladang itu julang kejuaraan liga musim lalu.

Kepakaran Permsub amat ditagih untuk menaikkan semula prestasi pemain memandangkan kedudukan semasa Perak ketika ini sekadar di tangga keenam liga.

Dia sepatutnya bersama pasukan sejak liga bermula, namun polisi kerajaan ketika itu mengenai pintu sempadan negara membataskan kehadiran jurulatih dari Thailand tersebut.

"Jurulatih daripada Thailand itu telah banyak membantu pasukan sejak dua tahun yang lalu. Dia juga telah membantu pasukan tahun lalu dan kami telah menyenaraikan dia dalam staf kejurulatihan pasukan," kata Pengurus Perak, Mohd Jaffrey Zainol.

Tiada isu pertindihan tugas dengan ketua jurulatih, Eddy Yusman Abdul Manap, kerana kehadiran Permsub adalah sebagai pakar teknikal, yang turut bertanggungjawab membantu skuad Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2021.

"Kami bersyukur kerana di Perak tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sini dan kami memiliki skuad penuh di sini untuk menjalani latihan."