Perak Bison menerima hakikat mempertahanan mahkota kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini cukup sukar berdasarkan situasi semasa yang berlaku termasuk akur mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan kerajaan.

Musim lepas, Bison mempamerkan aksi terbaik sehingga muncul sebagai juara baharu STL dengan mengenepikan ATM Guardians berdasarkan perbezaan set kemenangan meskipun mengumpul mata yang sama.

Lebih menarik, sejarah baharu itu dilakarkan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, apabila cukup bergaya menumbangkan juara bertahan, Penang Black Panthers 2-0 (21-17, 21-9).

Bagaimanapun, ketua Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, mengesahkan mereka masih belum melakukan persiapan secara rasmi dan hanya meminta pemain melakukan latihan di rumah masing-masing sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Masih belum ada sebarang keputusan mengenai latihan rasmi pasukan dan setakat ini kami memantau melalui laporan video yang dihantar oleh pemain sahaja.

"Biarpun masih belum dikumpulkan akibat PKP, saya yakin semua pemain cukup berdisiplin untuk menjaga kecergasan diri demi kebaikan pasukan," ungkapnya.

Ismi yang berjaya membawa Bison menduduki tangga ketiga dalam saingan Piala Juara-Juara STL, musim lepas juga enggan mengesahkan kedudukan pemain import yang bakal beraksi bersama mereka.

"Terserah kepada pihak pengurusan untuk menggunakan import atau tidak?

"Banyak faktor yang perlu diambil kira untuk membentuk skuad yang mantap," ulasnya.

Untul rekod, kemenangan bersejarah itu membolehkan Bison membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000.

Kredit Foto: STL