Johor Tigris bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas PDRM Guardians dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) divisyen perdana, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan yang turun ke gelanggang di Stadium Titiwangsa dengan misi mendapatkan kemenangan selepas PDRM yang tewas kepada Negeri Sembilan Antlers, sementara Johor Tigris pula kepada pendahulu saingan serta pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder.

Johor terlebih dahulu mempamerkan aksi bertenaga dalam set pertama meraih mata demi mata menerusi perejam, Noraizat Nordin hingga hampir memenangi set pertama apabila mendahului 20-18.

SANG RIMAU LWN SANG SAKA BIRU!! Agak agak perlawanan ni panas macam Johor KL semalam tak? Tengok LIVE dekat Astro Arena dan YouTube pukul 3 ptg okay? #STL2020 #IniMilikKita

Posted by Astro Arena on Saturday, October 3, 2020

Siri kesilapan dan beberapa servis kencang daripada tekong PDRM, Izzat Zainal menyaksikan PDRM menang set pertama 25-24.

Situasi yang sama berlaku dalam set kedua, Johor sekali memulakan permainan dengan garang hingga mendahului 12-9, namun PDRM mula mengorak langkah hingga berjaya mengejar kedudukan 13-13 namun Johor berjaya memperkemaskan gerakan sebelum menang 21-18.

Kejayaan menyamakan kedudukan membenarkan Johor terus yakin dengan kemampuan mereka untuk melengkapkan kemenangan, mempamerkan permainan yang cemerlang dalam set penentuan apabila berjaya menang 21-6 sekaligus melengkapkan kebangkitan mereka.

Keputusan lain:

SELANGOR PISTONS 0 NS ANTLERS 2