Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) mendapat suntikan motivasi apabila Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman turut memberi sumbangan bagi membantu persiapan pasukan Kelantan Warriors menjelang Liga Sepak Takraw (STL), Ogos depan.

Naib Presiden 3 GASTAK, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, merakamkan ucapan penghargaan sambil berharap lebih ramai tokoh atau ahli perniagaan menghulurkan sumbangan demi menyokong persiapan skuad negeri.

"Pihak GASTAK sangat berbesar hati apabila ada ahli parlimen yang tampil secara sukarela membantu persiapan skuad Warriors.

"Sumbangan boleh menjadi penyuntik semangat dan membuktikan sukan sepak takraw di Kelantan ini disokong oleh semua pihak dan lapisan masyarakat," ujarnya.

Ahmad Shazwan yang juga Pengurus Warriors mengesahkan persatuan itu belum memuktamadkan senarai akhir enam pemain yang bakal dipilih menyarung jersi Kelantan untuk saingan STL musim ini.

"Kita belum putuskan senarai akhir pemain biarpun perbincangan telah diadakan dalam mesyuarat pengurusan Mac lepas.

"Kita tunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkaitan tarikh sebenar kejohanan STL musim ini," katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga kelima STL dan layak bersaing dalam saingan Piala Juara-Juara musim lepas. Bagaimanapun, mereka terkandas dalam saingan Kumpulan A yang turut disertai Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Korea Haechi dan Singapore Lions.