Selepas minggu keempat, saingan minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) turut akan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Ia selepas sorang pegawai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang terlibat dalam saingan itu disyaki menjadi kontak rapat seorang individu yang positif virus berkenaan di dalam sebuah bas.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, kepada Nadi Arena hari ini.

"Saya memohon maaf kepada kesemua pasukan yang terlibat dan kepada penonton kerana STL minggu ini masih belum dapat diteruskan tetapi Insya-Allah, minggu depan, barangkali kita akan dapat kembali melaksanakannya.

"Ia masih bergantung kepada hasil laporan yang dijalankan.

"Apabila jadual baru ditetapkan, semua pemain, pegawai, pengurus dan jurulatih dikehendaki menjalani satu lagi ujian swab sebelum saingan minggu keempat itu kembali bersambung," katanya.

Presiden PSM itu turut mengesahkan bahawa pegawai berkenaan masih menjalani kuarantin biarpun tidak menunjukkan sebarang gejala setakat ini.

"Walaupun sudah masuk hari ke-15, kami masih belum mendapat keputusan rasmi hasil daripada ujian swab pegawai tersebut.

"Namun, saya telah berbincang dengan pegawai berkenaan, Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang simptom seperti demam, batuk, selsema atau lain-lain gejala.

"Beliau diminta untuk menjalani kuarantin sehingga 16 Oktober ini," tambahnya.