COVID-19: Saingan STL minggu keempat ditunda

Oleh Muzaffar Musa 9 Oktober 2020 1991
COVID-19: Saingan STL minggu keempat ditunda
Saingan minggu keempat Liga Sepak Takraw (STL) bermula hari ini ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan kebimbangan penuralan wabak COVID-19, demikian diumumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, terdapat seorang pegawai badan induk itu -- yang menaiki bas ke STL dua minggu lalu -- berkemungkinan dijangkiti COVID-19.

"Dukacitanya dimaklumkan bahawa terdapat seorang pegawai yang terlibat dengan STL 2020 menaiki bas dua minggu lalu dan PSM mendapati, berdasarkan laporan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat salah seorang penumpang lain di dalam bas tersebut telah disahkan positif COVID-19," kata kenyataan itu.

"Pegawai tersebut sekarang ini telah dikuarantinkan dan di dalam pemantauan KKM.

"Akan tetapi PSM mendapati ramai juga peserta STL 2020 dan STL Remaja 2020 yang mempunyai kontak rapat, maka pengurusan PSM, setelah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Intitut Sukan Negara (ISN) dan Astro, tidak sanggup dan tidak berani mengambil risiko demi menjaga nama baik sepak takraw dan PSM.

"Justeru itu, pengurusan PSM dengan hati yang berat terpaksa mengambil keputusan untuk menangguhkan kesemua pertandingan anjuran PSM, termasuk STL 2020, STL Remaja 2020 dan Piala Dato' Seri Haji Ahmad Ismail, ke satu tarikh yang akan ditetapkan setelah mendapat keputusan ujian saringan COVID-19 pegawai berkenaan."

Dengan pengumuman itu, penganjuran STL 2020 terpaksa ditunda buat sementara waktu bermula dengan saingan minggu keempat hari ini.
 

KENYATAAN MEDIA Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) #PSM #KenyataanMedia #STL2020 #STLYouth2020 #PDSHAI2020

Posted by Persatuan Sepaktakraw Malaysia - PSM on Friday, 9 October 2020

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen