Bolehkah Lin Dan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020?

Oleh Adam Zamri 19 Februari 2020 0
Bolehkah Lin Dan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020?
Jika dibaca dan mengambil kira reputasi Lin Dan sebagai dua kali pemenang pingat emas Sukan Olimpik, ia tampak tidak menjadi masalah diletakkan sekali gelaran seperti juara dunia, Seluruh England dan pelbagai lagi kejuaraan antarabangsa dalam resume pemain China ini.

Bagaimanapun, jika dihitung prestasi Lin Dan sejak kebelakangan ini pada usia 37 tahun, Lin Dan sudah tidak selincah dahulu. Bukan merendahkan reputasi Lin Dan, namun dalam keadaan prestasinya yang terumbang ambing, kebanyakan pemain sudah tidak gerun untuk berdepan dengannya berbanding ketika dia muda dahulu.

Situasi yang cukup berbeza dengan seteru utamanya, Datuk Lee Chong Wei, tetap gah dan kental di gelanggang sebelum dia mengundurkan diri daripada arena badminton pada Jun 2019.

Ketika ini, slot perseorangan lelaki untuk ke Tokyo bagi negara China tertumpu kepada Shi Yuqi dan juga Chen Long. Berdasarkan ranking kelayakan Sukan Olimpik 2020, Lin Dan perlu mengatasi bukan dua pemain malah dua rakan senegara, Lu Guangzu dan Huan Yu Xiang.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan satu negara hanya boleh menghantar dua pemain sahaja, dengan syarat kedua mereka harus berada di kedudukan 16 terbaik menjelang tarikh akhir kelayakan pada 30 April 2020.

Februari semakin menuju ke penghujungnya dan Lin Dan berperang dengan waktu, dua bulan untuk memastikan dia mampu beraksi semula di pentas Sukan Olimpik.

Tentang Penulis

Adam Zamri

Komen