Skuad hoki wanita negara perlu lebih banyak pendedahan 

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2017 173
Skuad hoki wanita negara perlu lebih banyak pendedahan 
Pertahanan skuad hoki wanita negara, Juliani Mohamad Din, mengakui pasukannya perlu didedahkan lagi dengan lebih banyak aksi di peringkat antarabangsa untuk mereka terus mempamerkan peningkatan prestasi, terutama menjelang Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan. 

Skuad hoki wanita negara kian menunjukkan prestasi memuaskan sejak akhir-akhir ini. Jika sebelum ini, mereka menjadi pasukan belasahan, namun kini skuad bimbingan Dhaarma Raj Abdullah itu berjaya menghadirkan saingan hebat terhadap beberapa pasukan handalan. 

Buktinya, dalam saingan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, baru-baru ini, skuad hoki wanita negara muncul lima pasukan terbaik di Asia dan misi mereka selepas ini adalah menggegarkan Sukan Komanwel. 

"Persiapan yang diadakan sememangnya bagus. Semua orang kenal dengan jurulatih, Dhaarma. 

"Dari segi latihan kendaliannya memang bagus dan taktikal pun sempurna. Terpulang kepada pemain untuk menggunakan apa yang diterapkan Dhaarma," ujar Juliani. 

Sementara itu, Raja Norsharina Raja Shabudin, yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan bahagian tengah menjangkakan persaingan sengit akan berlaku untuk pemain merebut tempat dalam temasya pada April tahun depan itu. 

"Insya-Allah, peluang itu ada sebab masih terbuka. 

"Saya perlu memberikan saingan lebih sengit. Selepas ini, mungkin ada pemain yang baru. Oleh itu, saya perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad Sukan Komanwel nanti," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen