Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, melakukan kejutan apabila menggugurkan lima tonggak utama termasuk kapten, Sukri Mutalib, selain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, daripada senarai 36 pemain menjelang Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, April depan.

Dua lagi pemain yang digugurkan ialah Nabil Fikri Mohd Noor dan Joel Van Huizen.

Terdahulu, penjaga gol veteran, S. Kumar, turut mengumumkan persaraannya minggu lalu.

Ia pasti satu tindakan yang berani memandangkan kelima-lima pemain berkenaan merupakan tonggak skuad negara sejak sedekad lalu.

Oltmans turut memangil 11 muka baru yang menjadikan keseluruhan 34 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan pertama Isnin depan.

"Ia bukan senarai (pemain) yang lengkap.

"Kami akan memulakan latihan pertama dengan 34 pemain pada 2 Mac ini.

"Ia tidak bermakna keseluruhan 34 pemain akan terus berada dalam latihan sepanjang tiga minggu itu.

"Kami mungkin akan memilih 28 pemain sahaja untuk menyertai latihan fasa akhir menjelang Piala Sultan Azlan Shah," katanya.