Pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic, bertekad untuk merantai penggempur berbisa Perak, Gilmar Da Silva, ketika aksi final Piala Malaysia dalam usahanya membantu skuad Peteh mengakhiri kemarau kejuaraan piala berprestij itu.

Zonjic merupakan antara pemain Terengganu yang akan menggalas tugas penting dalam perlawanan akhir menentang Perak, Sabtu ini kerana pemain kelahiran Serbia itu perlu memastikan benteng pasukannya tidak mudah ditembusi oleh pihak lawan, terutama daripada Gilmar.

Berbekalkan pengalaman bermain menentang Perak dalam aksi peringkat kumpulan, Zonjic sedar ancaman penyerang dari Brazil itu.

"Gilmar adalah pemain yang berkualiti. Saya tahu dia bagus kerana kami bertemu dalam empat perlawanan sebelum ini.

"Jadi, saya akui dia adalah penyerang yang bagus. Saya harus fokus, begitu juga dengan seluruh pasukan kerana perlawanan ini akan menjadi lebih sukar berbanding aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Zonjic akan bergandingan dengan Latiff Suhaimi atau Nasrullah Hanif untuk mengemudi bahagian pertahanan dan dia dijangka tidak berdepan masalah membentuk persefahaman ampuh dengan mana-mana pemain tatkala mengidamkan kejuaraan untuk tahun pertamanya bersama skuad Penyu.

"Kami membawa harapan besar buat semua peminat Terengganu. Kali terakhir mereka beraksi di pentas final adalah tujuh tahun lalu, jadi kami akan berusaha keras untuk membawa trofi semula ke Terengganu."

Sementara itu, jualan tiket oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi aksi final Piala Malaysia 2018 jelas tidak sistematik.

Penyokong terpaksa bermalam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan tiket dan keadaan menjadi tidak terkawal sebaik sahaja kaunter tiket dibuka jam 10 pagi hari ini sehingga menyebabkan beberapa penyokong jatuh pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Situasi itu mengundang rasa tidak puas hati penyokong susulan dilaporkan hanya terdapat 2,000 tiket dijual sedangkan jumlah yang diperuntukkan adalah sebanyak 30,000 keping.

"Apa yang saya tahu, jumlah tiket sebanyak 60,000 dibahagi dua buat Terengganu dan Perak tetapi bagaimana orang ramai yang tidak mencecah 10,000 tidak dapat membeli tiket sehingga ada yang pengsan serta dibawa ke hospital. Sebab itu saya tidak berpuas hati," ujar salah seorang penyokong Terengganu.

PBSNT ketika diminta mengulas mengenai situasi itu, bagaimanapun, enggan memberi reaksi lanjut.