Kesempatan untuk turun beraksi dalam kesebelasan utama tidak akan disia-siakan pemain Perak, Zaquan Adha Abdul Razak, yang bertekad memperbaiki prestasi menjelang pertembungan separuh akhir Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), pertengahan bulan ini.

Kecederaan pemain import, Yashir Pinto, membuka ruang seluas-luasnya kepada Zaquan yang sering diketepikan dan paling bermakna, mengisi posisi penyerang tengah.

Namun, dia sama sekali belum berpuas hati dengan aksi yang ditonjolkan bertemu Pahang dalam suku akhir kedua apabila melepaskan dua kesempatan terbuka mencetak jaringan buat The Bos Gaurus.

"Ini mungkin rezeki saya sejak sekian lama beraksi di bahagian sayap.

"Saya berpeluang untuk bermain di posisi asal, iaitu selaku penyerang.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik," ujarnya.

Jelas Zaquan, dia mahu menjadikan platform separuh akhir dengan bekas pasukannya, Harimau Selatan, sebagai permulaan terbaik untuk bangkit.

Walaupun JDT dilabel pilihan, Zaquan optimis semangat yang dimiliki Perak mampu melakar kejutan ke atas skuad berstatus bintang itu.

"Saya amat menanti-nantikan aksi separuh akhir bertemu JDT.

"Dalam bola sepak, apa-apa pun boleh berlaku, yang penting kita ikhlas dan jujur di dalam padang," katanya lagi.