Mungkin sudah tiba masa buat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneroka teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan tempatan susulan gol kedua Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala Malaysia menjadi perdebatan.

Penyerang berbisa JDT, Safawi Rasid, meledak jaringan kedua skuad Harimau Selatan itu menerusi sepakan percuma pada minit ke-35.

Apa yang menarik, sepakan itu menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim, dengan bola mengenai bawah palang dan melantun ke arah garisan gol sebelum dikeluarkan pertahanan, Khairul Helmi Johari.

Pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin, mengesahkan gol tersebut selepas mendapat bantuan daripada penjaga garisan, Zulkarnain Zakaria.

"Saya tidak nampak dan ia atas keputusan pengadil. Jika sudah masuk, memang sah. Mungkin bukan rezeki kami," ujar Ifwat Akmal.

Ia bukan insiden pertama membabitkan gol kontroversi dalam situasi hampir sama memandangkan Kedah pernah mengalaminya ketika pertembungan separuh akhir kedua menentang Pahang.

Justeru, MFL disaran menggunakan mekanisme terbaik untuk memperkenalkan sistem VAR di masa depan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

"Saya rasa bagus jika diadakan sistem VAR memandangkan Piala Dunia juga telah gunakannya. Sepatutnya perlu ikutlah," kata salah seorang penyokong JDT.