Pertahanan import Selangor, Ugo Ukah, berharap mampu meneruskan sentuhan jaringan, terutama ketika situasi sepakan penjuru, ketika berdepan Kedah dalam aksi final Piala Malaysia, Ahad ini.

Pemain yang berasal dari Nigeria ini menjaringkan dua gol dalam kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang T-Team.

Sentiasa membantu pasukan dalam situasi sepakan percuma atau sepakan penjuru, dia mahu meneruskan momentum di pentas akhir sebagai hadiah kepada penyokong setia Selangor.

"Saya gembira dapat membantu menjaringkan gol penting dan saya berharap saya dapat melakukannya dalam final.

"Tetapi kami telah menetapkan strategi untuk kekal ampuh ketika bertahan dan menyerang sebaik mungkin, jadi diharapkan apa yang dirancangkan menjadi," katanya.

Mengenai siapa pilihan gandingannya di pertahanan tengah, Ugo tidak memilih sambil menysifatkan Shahrom Kalam atau Rizal Fahmi mempunyai kelebihan tersendiri.

Sedia bermain dengan sesiapa sahaja, apa yang lebih mustahak baginya ialah kubu Selangor tidak ditembusi Kedah di Shah Alam.

"Kami perlukan pemain terbaik untuk menang. Rizal bermain dengan cukup mantap ketika ini manakala Shahrom pemain yang bagus dan dia baharu saja pulih daripada kecederaan.

"Mungkin jurulatih berdepan masalah untuk membuat pemilihan."