Ukah lega hadiahkan gol kemenangan buat Selangor

Oleh Staff Writer 3 Oktober 2016 2
Ukah lega hadiahkan gol kemenangan buat Selangor
Pemain pertahanan Selangor, Ugochukwu Ukah, melahirkan kelegaan kerana berjaya memastikan skuadnya itu muncul pemenang (2-1) dalam separuh akhir pertama untuk mencerahkan impian mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Dalam aksi di Shah Alam kelmarin, Selangor, bagaimanapun, dihidangkan banyak peluang keemasan pada awal permainan, yang malangnya dihampakan dengan ketumpulan penyudah, terutama daripada penyerang import, Patrick Ronaldinho.

Mujur tuah tetap berpihak kepada Selangor sebaik Ugo yang pantas menggunakan sebaik-baiknya ruang kosong di depan gawang T-Team, 10 minit sebelum permainan berakhir.

"Saya gembira kerana kami bekerja keras dalam sesi latihan minggu ini, terutama dalam aspek sepakan sudut," katanya. "Kami tahu T-Team berdepan kesukaran untuk bertahan ketika berada dalam situasi hantaran lambung.

"Jadi, kami cuba mengambil kesempatan itu. Saya gembira kerana berjaya menyumbat gol."

Kegagalan Selangor untuk mencipta kemenangan dengan keputusan selesa turut berpunca daripada kecemerlangan yang dipamer penjaga gol T-Team, Muhammad Ilham Amirullah.

Sekurang-kurangnya tiga percubaan bahaya Selangor menerusi Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri, telah diselamatkan oleh Ilham.

Ilham pula berkata, walaupun kecewa dengan prestasi rakan pasukan, dia tetap percaya T-Team masih berpeluang untuk bangkit.

"Saya tidak berpuas hati kerana prestasi keseluruhan pasukan yang agak menurun ketika ini. 

"Saya harap di Terengganu nanti, kami mampu bangkit semula. Sekurang-kurangnya satu gol ini memberikan peluang kepada kami untuk berjuang dalam pertemuan separuh akhir kedua."

T-Team mendahului menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 selepas Safawi Rasid dijatuhkan dalam kotak penalti Selangor oleh Bunyamin Omar dan Patrick Cruz menyempurnakan sepakan untuk meletakkan pelawat di depan.

Selangor menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat menerusi rembatan lencong Ahmad Hazwan Bakri. 

Pada separuh masa kedua, Selangor akhirnya mendahului permainan menerusi Ugo pada minit ke-80. 

Perlawanan timbal balik akan berlangsung pada 15 Oktober di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen