Pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui pasukannya itu bakal menghadapi tugas sukar dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Perak di Stadium Perak, malam esok.

Bagaimanapun, bekas pemain berusia 47 tahun itu tetap yakin anak didiknya mampu menyerap tekanan pihak lawan walaupun akan berdepan 'pemain ke-12' tuan rumah, iaitu ribuan penyokong mereka.

Selain itu, status Perak sebagai naib juara Liga Super juga pasti menjadikan pasukan itu sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan esok.

Bagaimanapun, Jelius berkata mereka memiliki strategi tersendiri untuk menyukarkan Perak, sekali gus cuba mengatasi pasukan yang popular dengan jolokan The Bos Gaurus itu.

"Perak sebuah pasukan yang kuat, mereka adalah naib juara Liga Super dan oleh sebab itu, menggandakan usaha adalah jalan terbaik untuk kami mengatasi mereka.

"Kami pernah mengejutkan beberapa pasukan Liga Super sebelum ini dan tidak mustahil kami mampu melakukannya sekali lagi. Kami akan cuba sedaya-upaya untuk memberi saingan kepada Perak kerana saya percaya dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

Jelius berkata persiapan pasukannya untuk menghadapi separuh akhir pertama malam esok berjalan lancar dengan kesemua pemain bebas daripada kecederaan serta bersedia untuk beraksi.

"Kami hanya tidak dapat menggunakan Randy Baruh yang masih menjalani penggantungan perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam aksi suku akhir pertama bertemu Kelantan, tempoh hari.

"Keadaan pasukan kini juga berada dalam keadaan baik, mereka sangat bersemangat untuk mengharungi separuh akhir ini," katanya.

Dalam aksi malam esok, Jelius berkata dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya ketika mereka menewaskan Kelantan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Ahad lalu.

Jurulatih berusia 47 tahun itu dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir pasukan dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Alto Linus dan Dendy Lowa yang menggantikan tempat Randy.

Sementara itu, Sabri Sahar juga dijangka sekali lagi menjadi 'arkitek' Sabah di bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Hamran Peter manakala dua penyerang import, iaitu Rodoljub Paunovic dan Hector Omar Ramos, kekal sebagai pemburu jaringan buat pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu.