Thiago yakin kemampuan rakan sepasukan

Oleh Penulis Jemputan 29 September 2017 743
Thiago yakin kemampuan rakan sepasukan
Pemain import Perak, Thiago Aquino, yakin bahawa setiap pemain dalam pasukan sama ada tonggak utama atau simpanan akan  bersedia sepenuhnya untuk aksi getir berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 14 Oktober ini.

Keyakinan pertahanan itu adalah berlandaskan semangat sepasukan yang cukup kuat dalam kem Perak ketika ini dan ia dibuktikan dengan kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi Liga Super, Rabu lalu.

Perak mengatasi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu tanpa membariskan ramai tonggak utama, sekaligus menguatkan keyakinan pemain kelahiran Brazil itu.

“Ia sesuatu yang bagus kerana kami memerlukan khidmat kesemua pemain dalam pasukan, tidak kira simpanan atau pemain utama. Masing-masing memainkan peranan penting dan mereka membuktikannya ketika menentang Pulau Pinang,” katanya.

Bekas pemain antarabangsa bawah 17 tahun Brazil itu juga percaya bahawa setiap pemain pasti akan mengerah segala kudrat untuk berdepan skuad Harimau Selatan dan pandangan sama turut dilontarkan pemain sayap, Zaquan Adha Abdul Radzak, untuk aksi berdepan bekas pasukannya itu.

Zaquan tidak menafikan hakikat Perak perlu benar-benar bersedia daripada segala aspek jika mahu melepasi halangan JDT.

“Bukan mudah untuk bertemu JDT kerana semua orang tahu bahawa mereka adalah pasukan yang sempurna.

"Saya percaya kepada semangat dan ia membantu semua pasukan dalam apa sahaja situasi. Dalam bola sepak, apa-apa perkara boleh berlaku jika kami bekerjasama sebagai satu pasukan,” ujar Zaquan.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen