Penyerang Kedah, Thiago Augusto Fernandes akui impian beraksi di pentas final Piala Malaysia menjadi motivasi tinggi untuk pamer kebangkitan semula dalam kariernya kini.

Dia yang tidak beraksi dalam tempoh separuh musim ekoran kecederaan serius di bahagian lutut, kini bangkit menjadi penyerang digeruni.

Ironinya, prestasi cemerlangnya hadir dalam kempen Piala Malaysia sama seperti ketika mewakili Felda United musim lalu.

Pada Jumaat, penyerang dari Brazil ini meledak satu gol untuk bantu Kedah menewaskan PDRM 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama.

Ia gol kelima Thiago dalam kempen Piala Malaysia musim ini, menjadikan keseluruhan sembilan gol sejak membuat penampilan sulung Julai lalu.

"Saya harap kami mampu mara ke final. Tahun lalu kami berjaya tetapi kami tewas," katanya.

"Kedah telah berikan segalanya untuk saya jadi saya akan lakukan perkara sama untuk Kedah.

"Keyakinan saya berada di tahap tertinggi ketika ini dan saya juga berasa cergas jadi saya harap kami mampu lakukannya."