Penyerang Felda United, Thiago Augusto Fernandes, tampak berada dalam prestasi luar biasa apabila meledak hatrik buat kali ketiga bulan ini, terbaru ketika The Fighters menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi.

Dia sekali lagi mempamerkan bisa apabila melakar hatrik ketiga peribadi dalam tempoh kurang daripada tiga minggu.

Sebelum ini, penyerang dari Brazil itu menjaringkan tiga gol dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak pada 11 Julai dan T-Team pada 15 Julai lalu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih kerana mempercayai kebolehan saya.

"Kami telah mengharungi minggu yang sukar dan bagaimanapun hasilnya berjaya mencipta kemenangan,” katanya.

Aksi cemerlang pemain itu turut mendapat pujian jurulatih, B. Sathianathan, yang kini mahu pasukannya meraih kedudukan teratas Kumpulan B selepas hampir pasti layak ke suku akhir.

"Kami semakin hampir untuk ke suku akhir, kalau mendapat satu lagi kemenangan, ia pasti. Dan selepas itu, ia perlawanan untuk menentukan tempat pertama dan kedua,” kata Sathianathan.

Kekalahan ini menyaksikan peluang skuad warga kota untuk mara ke pusingan seterusnya seakan-akan sudah tertutup rapat dan ia diakui pengendalinya, Fabio Magrao.

“Peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia sudah terkubur tetapi kami mahu mempamerkan aksi yang terbaik ketika bertemu Perak,” katanya.