Pertahanan Terengganu FC (TFC), Abdul Latiff Suhaimi, mengakui pasukannya perlu menyekat jentera tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi meraih keputusan positif dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Larkin, malam ini.

TFC membawa bekalan satu gol ke tempat lawan selepas menang 1-0 dalam pertemuan separuh akhir pertama di laman sendiri.

Tidak dianggap sebagai kelebihan, skuad Peteh tampak berdepan ujian lebih getir bagi merealisasikan impian untuk layak ke perlawanan akhir.

"JDT akan memberikan serangan yang bertubi-tubi untuk meraih jaringan dan kami akan berusaha untuk mematahkan gerakan jentera tengah lawan," kata Latiff.

Latiff diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama pasukan dalam aksi separuh akhir pertama susulan pertahanan, Nasrullah Haniff, digantung satu perlawanan.

Sementara itu, tonggak import, Lee Andrew Tuck, mengakui pasukannya perlu mendapatkan jaringan bagi memberi tekanan kepada JDT.

"Kami menyedari aksi sukar menanti TFC di Larkin. Kami perlu bertahan dengan baik serta berusaha untuk mencipta jaringan dalam perlawanan ini," katanya.

Kelibat Tuck sememangnya ditagih skuad Peteh selaku nadi tengah pasukan dan membantu serangan meraih jaringan.

TFC kini dalam misi mengakhiri penantian tujuh tahun mara ke pentas final Piala Malaysia.

Imej: Asiana