Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mengakui Terengganu FC (TFC) akan turun selaku pasukan pilihan menjelang aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Sambil menyifatkan lawan dibarisi pemain lebih berpengalaman, Durakovic berkata kejayaan TFC menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir turut menjadikan pasukan Pantai Timur itu sebagai pilihan ramai.

Bagaimanapun, prestasi skuad The Bos Gaurus sepanjang musim ini menjadi sandaran jurulatih berusia 53 tahun itu yang menjulang Piala Malaysia bersama Selangor sebagai pemain dan jurulatih.

"Hanya Leandro Dos Santos yang pernah memenangi trofi ini bersama saya di Selangor, jadi aksi final malam esok merupakan pengalaman baru pasukan Perak.

"Kami tidak mahu memberikan alasan, namun Perak beraksi cemerlang selaku naib juara Liga Super dan beraksi di peringkat Asia tahun depan," ujarnya.

Sementara itu, kecederaan Nasir Basharuddin menjejaskan persiapan Perak dengan peranan kapten kini digalas tonggak pertahanan, Shahrul Saad, yang diberi tugas merantai pergerakan Tchetche Kipre.

Tidak mahu memberi jalan mudah kepada lawan, pemain kebangsaan itu juga enggan melepaskan peluang membawa pulang trofi berprestij tersebut ke negeri kelahirannya.

"Kami akan beraksi seperti biasa dan diharapkan esok hari yang baik untuk Perak," kata Shahrul.