Tanpa sebarang pemain yang memiliki pengalaman beraksi di pentas final, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap 10 minit pertama perlawanan akhir menentang Perak menjadi penentu kepada impian skuad Peteh untuk menjulang Piala Malaysia, malam esok.

Di atas kertas, Terengganu dianggap sebagai pasukan yang lebih menonjol kerana menyingkirkan pasukan Felda United di peringkat suku akhir dan mengejutkan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT), di peringkat separuh akhir.

Namun, Irfan tetap merendah diri dengan menjelaskan kebanyakan pemain dalam skuadnya, termasuk pemain import, tidak pernah beraksi di pentas final sepanjang karier mereka.

Sepuluh minit pertama permainan esok dianggap kunci kepada hala tuju pasukannya, sama ada mampu atau sebaliknya membawa pulang Piala Malaysia selepas 14 tahun.

"Setiap perlawanan sebelum ini, saya berasa sangat berdebar.

"Namun, kali ini saya tidak tahu mengapa saya berasa tenang.

"Mungkin disebabkan gelanggang neutral dan pengadil yang perlu menjaga reputasi mereka, saya rasakan tiada apa yang perlu dibimbangkan," kata Irfan.

Dalam kem Perak pula, jurulatihnya, Mehmet Durakovic, sedang berkira-kira menambah satu lagi koleksi kejayaan Piala Malaysia selepas cemerlang sebagai pemain dari tahun 1995 sehingga 1997 dan semusim sebagai jurulatih bersama Selangor pada 2015.

"Kami hanya perlu melepasi satu lagi perlawanan.

"Kami perlu menikmatinya.

"Walaupun agak berbeza, saya mahu memenanginya untuk keluarga saya, barisan kejurulatihan, pemain dan khususnya penyokong yang menyokong kami dengan hebat selama ini," ujar Durakovic.