Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, terus menerima tekanan supaya meletak jawatan.

Gesaan oleh netizen itu dibuat berikutan pelbagai tindakan Hasnul yang membuatkan Piala Malaysia yang dimenangi Perak, Sabtu lalu, seperti milik peribadinya.

Presiden PAFA itu dikatakan membawa piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu ke mana sahaja beliau pergi, seolah-olah ia tiada nilai.

Kemuncak kemarahan mereka ialah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu mengepit Piala Malaysia di celah kangkangnya ketika berehat di tepi kolam renang seperti yang tular.

Walaupun Hasnul Zulkarnain, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Negeri sudah memohon maaf, netizen jelas sukar menerima permohonan maaf dan penjelasannya.

Kemarahan terhadap tindakan Hasnul itu bukan hanya di dalam negeri, sebaliknya dari seluruh negara.

Berikutan itu, mereka mahu presiden PAFA itu meletak jawatan kerana berasa malu dengan tindakannya.

Dalam tindakan terbaru, ada pihak menggantung kain rentang di jejantas di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang tertera #PresidenPAFAOut!

Seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Azmie merumuskan peletakan jawatan Hasnul sebagai jalan penyelesaian terbaik

"Eloklah letak jawatan kerana kerosakan yang berlaku sangat teruk.

"Dah tidak boleh buat apa dah. Nasi sudah jadi bubur," katanya.