JDT 2 TFC 2
(TFC mara ke final dengan agregat 3-2)

Dua gol ketua pasukan, Tchetche Kipre, dalam babak kedua memastikan Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, sebentar tadi, sekaligus mara ke final Piala Malaysia dengan agregat 3-2.


Harimau Selatan, selaku juara bertahan Piala Malaysia, seperti dijangka memulakan permainan dengan rentak agresif apabila dua peluang Gonzalo Cabrera dan Syafiq Ahmad mula mencemaskan Terengganu.

JDT kemudian hampir dikejutkan menerusi serangan balas Tchetche dari sebelah kiri, namun tolakan Mohd Shahrul Aizad pada minit ke-11 diselamatkan Mohd Farizal Marlias.

Memperkemaskan rentak, tuan rumah melalui Cabrera menambah tekanan kepada benteng pertahanan pelawat yang bagaimanapun menyaksikan percubaan pada minit ke-12 dan 25 gagal menepati sasaran.

Penjaga gol Terengganu, Mohd Suffian Rahman, terus bertungkus-lumus menafikan rembatan jarak jauh Mohd Aidil Zafuan (m-32) dan tandukan Mohd Safawi Rasid, dua minit kemudian.

Hasrat JDT menyamakan kedudukan agregat tercapai pada minit ke-40 apabila pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin, memberikan sepakan penalti kontroversi yang disudahkan Fernando Marquez.

Selepas rehat, pintu gol Terengganu terselamat selepas sepakan leret Safawi (m-48) serta dua percubaan Syafiq pada minit ke-52 dan 56 digagalkan Mohd Suffian.

Serangan bertali arus JDT kendalian Benjamin Mora itu membuahkan hasil pada minit ke-61 melalui jaringan Cabrera selepas tandukan pertama Marquez terkena palang.

Ketinggalan 1-2 menerusi agregat, Terengganu memperoleh gol berharga di tempat lawan apabila hantaran kemas Abdul Malik Mat Ariff disudahkan Tchetche untuk menewaskan Mohd Farizal pada minit ke-68.

Kemasukan Ahmad Hazwan Bakri hampir menceriakan JDT tetapi dua peluangnya dinafikan tiang gol sebelum Tchetche membawa Terengganu ke final dengan gol kedua peribadi dan pasukan pada masa kecederaan.

Kredit foto: Johor Southern Tigers