Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, menyifatkan kemenangan 5-0 ke atas Terengganu dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia membuktikan Harimau Selatan tidak menyandarkan harapan kepada mana-mana individu untuk melakar kemenangan penting.

Aksi berdepan Terengganu di Stadium Larkin malam tadi menyaksikan Morais mempertaruhkan kesebelasan pemain tempatan dengan meletakkan Ahmad Hazwan Bakri sebagai penyerang utama.

Mereka meraih kemenangan besar ke atas Terengganu, sekaligus mengesahkan slot suku akhir dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Kami adalah pasukan yang boleh meletakkan kepercayaan kepada mana-mana pemain dalam skuad kami seramai 29 orang. Sesiapa sahaja yang diturunkan, mereka mampu menjalankan tugas dan tetap bermain untuk menang,” kata Morais.

Dalam pada itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui terpaksa merehatkan beberapa tonggak utama.

Tumpuan Irfan kini terarah kepada aksi berdepan Kuantan FA dalam aksi Liga Perdana, Jumaat ini.

"Kami tidak menurunkan tonggak utama pasukan kerana tumpuan utama Terengganu adalah saingan berdepan Kuantan, Jumaat ini," kata Irfan.