Ketua pasukan Selangor, Andik Vermansah, berasakan kelebihan psikologi akan berpihak kepada mereka selepas muncul juara musim lalu manakala Baddrol Bakhtiar menganggap pasukan Kedah kali ini sebuah pasukan lebih matang.

Pemain import dari Indonesia itu melihat kejuaraan musim lalu sebagai suntikan keyakinan tinggi untuk mereka bersikap positif tanpa sebarang tekanan.

Biarpun peranan kali ini lebih membebankan kerana perlu bertindak selaku ketua pasukan bagi menggantikan Shahrom Kalam, Andik sedia memimpin rakan sepasukan untuk menggegarkan Stadium Shah Alam sekali lagi.

"Prestasi saya semakin meningkat sehingga dapat membawa Selangor ke final.

"Tanggungjawab saya semakin besar kerana menggalas tugas untuk menggantikan Shahrom Kalam yang tercedera.

"Saya berharap esok saya akan memberikan yang terbaik untuk Selangor," kata pemain dari Jember, Indonesia itu.

Bagi Baddrol yang turut memainkan peranan selaku pengganti selepas Khairul Helmi Johari mengalami kecederaan, dia memberi amaran bahawa semangat kekeluargaan tinggi menjadi resipi kejayaan Kedah.

Malah, dia optimis selain barisan pemain muda yang semakin matang, jentera serangan mereka lebih mantap dengan kehadiran Thiago Augusto dan Shane Smeltz.

"Dengan gabungan pemain berpengalaman dan muda pada tahun ini, kami dapat menerapkan (keserasian) di antara kami yang dianggap seperti sebuah keluarga," kata Baddrol.