Beberapa pemain import kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bagi memantapkan lagi skuad Tambadau dalam menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata saingan musim depan pastinya jauh lebih mencabar dan adalah penting bagi pasukan berkenaan mencari pemain import lebih berkualiti, terutama di bahagian pertahanan dan serangan.

Selain itu, Peter turut membayangkan akan cuba membawa masuk pemain naturalisasi ke dalam skuad Sabah dengan beberapa pemain telah dikenal pasti.

“Kita lihat sendiri Sabah kini mengalami kelonggaran di bahagian pertahanan dan serangan.

"Oleh itu, sudah tentu kami akan mencari pemain yang lebih baik dan berkualiti untuk memastikan kami dapat bersaing sengit dengan pasukan lain dalam Liga Super.

“Perkara untuk membawa pemain import baru ini sudah dibincangkan di peringkat pengurusan dan kami telah mengintai beberapa pemain yang berkualiti untuk dibawa masuk.

“Ada pemain yang kini berada di Malaysia, contohnya pemain naturalisasi. Namun, kami juga akan ke negara luar untuk melihat pemain yang hebat dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia yang menyaksikan Sabah mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pasukan Sabah dalam saingan Piala Malaysia, Peter berkata pemain telah menunjukkan semangat dan permainan yang baik, namun gagal ke peringkat seterusnya.

“Saya tetap berbangga dengan barisan pemain yang mempunyai semangat kental dan sebenarnya kami tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam saingan Piala Malaysia.

"Ini kerana sasaran sebelum ini untuk memasuki saingan Liga Super telah tercapai dan apa yang lebih membanggakan, kami menjadi juara Liga Perdana 2019,” katanya.