Tiada apa yang dapat diungkapkan pemain-pemain T-Team apabila berputih mata gagal ke final Piala Malaysia selepas dikecewakan juara bertahan, Selangor, dalam aksi separuh akhir kedua, Sabtu lalu.

Menurut ketua pasukan, Mohd Hasbullah Awang, walaupun telah berusaha sedaya-upaya, rezeki nyata tidak memihak kepada skuad kendalian Rahmad Darmawan itu.

“Kami sedar harapan dan sokongan seluruh rakyat Terengganu, khususnya penyokong T-Team, yang meletakkan keyakinan untuk kami layak ke perlawanan akhir.

“Perjuangan dalam kempen Piala Malaysia terhenti setakat ini sahaja walaupun saya dan rakan-sepasukan sudah memberikan yang terbaik.

“Tidak dinafikan jaringan awal pasukan lawan seawal minit kedua menjejaskan semangat kami.

“Kami mahu melupakan kekalahan ini dan fokus kepada perlawanan terakhir liga bertemu Pahang, Sabtu ini.

“Kemenangan ke atas Pahang sekurang-kurangnya dapat mengubati luka kami,” tambahnya lagi.