Syazwan: Jentera serangan Selangor perlu peka

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2019 1240
Syazwan: Jentera serangan Selangor perlu peka
Pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon, mengakui jentera serangan The Red Giants perlu memainkan peranan besar dalam membantu misi wajib menang ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, esok.

Selangor tetap berdepan tugas sukar untuk aksi timbal balik di laman sendiri walaupun mempunyai kelebihan satu gol tempat lawan.

Ini berdasarkan aksi tidak konsisten bahagian pertahanan apabila dibolosi dalam semua empat perlawanan di laman sendiri.

Malah, juara 33 kali Piala Malaysia itu turut melakar hanya satu kemenangan daripada empat perlawanan di Stadium Shah Alam.

Lantas, Syazwan mengakui harus memainkan tanggungjawab dengan berkesan untuk memastikan keputusan positif buat Selangor.

"Sukar untuk menjangka keputusan perlawanan bola sepak. Saya berasakan jentera serangan yang dibarisi oleh Ifedayo Olusegun dan Sandro Da Silva harus berusaha mencari gol," katanya.

Bekas pemain Kedah itu, bagaimanapun, memikul tugas berat di Shah Alam apabila sekali lagi terpaksa berdepan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Mengkui pertahanan JDT itu sukar untuk diatasi, Syazwan kini menagih semangat berpasukan untuk misi merobek gawang Harimau Selatan itu.

"Liga Super dan Piala FA sudah terlepas. Inilah peluang buat Selangor meraih kejayaan musim ini. Kami juga berdepan JDT, pasukan yang dibarisi pemain berkualiti dan tugas yang perlu dihadapi bukanlah mudah."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen