Di sebalik kegembiraan menghampiri pentas separuh akhir Piala Malaysia, pengendali Pahang, Dollah Salleh, bagaimanapun berang dengan pemainnya, Mohamadou Sumareh, gara-gara mengutip kad kuning ketika bertemu Melaka United, malam tadi.

Pelawat melakar kejayaan sensasi dengan membenam seteru Liga Super itu 3-0 dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat.

Meletakkan skuad Tok Gajah sebelah kaki untuk ke peringkat separuh akhir, Dollah yang hadir dalam sidang media selepas perlawanan meluahkan kekecewaannya.

Ia susulan insiden kad kuning yang sepatutnya tidak dilakukan oleh pemain itu pada lewat permainan sehingga menyebabkan pemain naturalisasi berkenaan bakal digantung satu perlawanan.

"Sudah pasti saya kecewa.

"Saya sudah menghalangnya (berulang kali) tetapi dia masih lagi (buat), nak buat macam mana?," katanya.

Dalam pertemuan itu, juara empat kali itu merakamkan tiga gol dalam tempoh lima minit, masing-masing menerusi Lazarus Kaimbi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Dickson Nwakaeme.

Selepas memastikan bekalan selesa dengan kelebihan gol di tempat lawan, bekas jurulatih kebangsaan itu bagaimanapun menegaskan tempat dalam kalangan empat pasukan terbaik belum terjamin.

"Kami tidak boleh (bersikap) sambil lewa.

"Sebab itu saya selalu tekankan kepada pemain bahawa dalam bola sepak, kami tidak boleh terlalu selesa

"Walaupun dalam keadaan (kedudukan) yang baik, kami kena kekalkan tempo dan corak permainan," tambahnya.

Sementara itu, aksi suku akhir pertama di antara PKNP dan Kedah akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Rabu ini.