Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kekal menjadi venue separuh akhir kedua Piala Malaysia menemukan T-Team dan Selangor selepas pemeriksaan Unit Pertandingan, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mendapati tiada masalah besar pada gelanggang itu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain, pihaknya yakin permukaan padang di stadium itu menepati kehendak FMLLP, sekali gus membenarkan perlawanan itu berlangsung, Sabtu ini.

“Pemeriksaan ini adalah rutin biasa menjelang perlawanan besar. Walaupun tidak berada dalam keadaan sempurna, kami yakin boleh menambahbaik permukaan padang sebelum hari perlawanan.

“FMLLP juga ingin mengetahui prosedur keselamatan, jumlah penguatkuasa bertugas pada hari perlawanan dan perkara-perkara logistik lain.

“Mereka turut dibawa memeriksa bilik persalinan tuan rumah dan pelawat, bilik pengadil, bilik doping dan kemudahan-kemudahan di stadium ini.

“Secara keseluruhan, hanya 10 hingga 20 peratus sahaja penambahbaikan yang diperlukan dan saya yakin tiada masalah untuk kekal menjadi venue separuh akhir nanti,” kata Syahrizan.

Dua wakil FMLLP hadir membuat tinjauan di venue tersebut dan di dalam surat yang dikeluarkan, mereka menerima rungutan daripada komisioner perlawanan serta pasukan pelawat.

Namun, difahamkan perlawanan Sabtu ini boleh diadakan di stadium itu dan FMLLP menjangkakan akan ada peningkatan menjelang beberapa hari sebelum perlawanan, namun tetap mahukan laporan lengkap diberikan sehingga Sabtu.

Dalam pada itu pengurus pasukan T-Team, Datuk Muhamad Kamil Othman, menegaskan tiada keperluan untuk menukar venue walaupun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, yang mampu memuatkan lebih ramai penonton.

“Kami mahukan kemenangan dalam perlawanan ini, bukan hendak menunjuk-nunjuk stadium yang gah kepada orang ramai.

“T-Team ada 1,001 kelebihan beraksi di gelanggang keramat kami ini dan tiada masalah untuk perlawanan ini diadakan di sini.

“Untuk mencapai kemenangan, perlu ada strategi dan salah satu ialah kami perlu menggunakan kelebihan sudah biasa beraksi di sini,” tambahnya lagi.