Skuad Perak yang muncul juara Piala Malaysia 2018 mendapat penghargaan apabila dianugerahkan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

Majlis penyampaian pingat akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi esok.

Semua pemain akan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, penerima pingat Ahli Mahkota Perak (AMP).

Durakovic yang teruja dengan anugerah itu menyifatkannya sebagai pengiktirafan besar kepada pasukan.

"Anugerah pingat ini sudah pasti besar maknanya kepada pemain.

"Ia akan menyemarakkan lagi semangat pasukan dan memacu mereka ke arah mencapai kejayaan pada masa akan datang, " katanya.

Kejayaan bersama Perak adalah kali yang kelima buat Durakovic dalam kancah Piala Malaysia selepas empat kali bersama Selangor -- tiga sebagai pemain dan sekali sebagai jurulatih.

Dua lagi anggota pasukan yang pernah menjulang trofi unggul itu ialah Leandro Dos Santos dan jurupulih anggota, Mohd Zainuddin Zakariar, semasa di Selangor.