Pengendali Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad, enggan perjuangan anak buahnya dalam kempen Piala Malaysia berakhir awal, lantas menyifatkan aksi menentang Terengganu malam ini sebagai misi hidup mati skuad Jang.

Nasib Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia musim ini ibarat telur di hujung tanduk tatkala mereka berdepan penyingkiran awal setelah gagal mengutip sebarang mata daripada tiga perlawanan dalam Kumpulan A.

Menyedari situasi itu, Zaki menuntut kebangkitan daripada pemainnya bagi menyalakan harapan juara tiga kali itu untuk kekal bersaing dalam Piala Malaysia.

"Kami perlu menang. Jadi, saya harap semua pemain akan bekerjasama dan apa yang penting, kami dapat jaringkan gol serta bertahan dengan baik," katanya.

Dalam masa sama, Zaki -- yang mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada Mat Zan Mat Aris yang direhatkan -- menggesa pemainnya menyekat kemaraan Tchetche Kipre dalam pertemuan malam ini.

Penyerang import Terengganu itu bertindak sebagai pemusnah apabila meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas pasukan bimbingan Zaki itu di Kuala Terengganu, minggu lalu.

"Kami mahu pemain berada lebih dekat dengannya. Sewaktu menjaringkan gol ketiga dalam pertemuan sebelum ini, Tchetche masih mampu menghasilkan jaringan walaupun dikelilingi oleh empat orang pemain Negeri Sembilan," katanya.