Shahrul gesa pasukan waspada Kipre

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 382
Shahrul gesa pasukan waspada Kipre
Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad, mengingatkan barisan pemain The Bos Gaurus supaya memberi tumpuan kepada rangkaian serangan Terengganu yang dikepalai ketua pasukan, Tchetche Kipre, yang dilabelnya sebagai ancaman berbahaya menjelang aksi final Piala Malaysia, malam esok.

Saranan Shahrul itu berasaskan reputasi Terengganu yang setakat ini menampilkan aksi cemerlang menjaringkan 27 gol dalam 10 perlawanan yang diharungi dalam kancah Piala Malaysia.

Selain Kipre, jentera serangan Terengganu turut disokong oleh tiga pemain, iaitu Lee Tuck, Faiz Nasir dan satu-satunya pemain dalam skuad Penyu yang pernah beraksi dalam final Piala Malaysia, Ashari Samsuddin.

Justeru, Shahrul menggesa rakan-rakan sepasukannya meningkatkan kawalan di benteng pertahanan bagi mengelakkan mereka daripada berputih mata.

"Terengganu mempunyai pemain yang sangat bagus, jadi kami tidak akan memberikan mereka sebarang peluang dalam menghasilkan serangan," kata Shahrul.

Dua tonggak import Terengganu, Kipre dan Tuck juga kini sedang dalam pemburuan kasut emas apabila masing-masing mengumpul tujuh gol dalam kempen Piala Malaysia.

Meskipun itu bukan keutamaan, Kipre menganggap andai dia berjaya menyumbangkan gol yang membawa kepada kejayaan Terengganu malam esok, ia akan menjadi kenangan manis dalam karier bola sepaknya.

"Saya tidak terlalu memikirkan tentang apa yang bakal terjadi nanti.

"Namun, dalam bola sepak, apabila bermain di hadapan ribuan penyokong nanti, kami perlu lebih fokus.

"Bagi saya, ia sama sahaja dengan perlawanan lain.

"Apa yang membezakannya adalah aksi kali ini adalah aksi final," kata Kipre.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen